Friday, October 2, 2009

pasukan bola sepak KEDAH vs KL


Perlawanan Bola Sepak Nostalgia Piala Sultan Kedah Kedah-KL
 
Oleh: WADIASSOFI JAAFAR
ALOR SETAR, 9 Ogos:  Menara Alor Star sebagai mercutanda kebanggaan Negeri Kedah mengambil inisiatif ini menjadi penaja dan penyokong utama perlawanan Bola Sepak Nostalgia Piala Sultan Kedah yang akan diadakan di Stadium Darul Aman, di sini pada 16 Ogos 2009, jam 8.30 malam.
 
Pengurus Besar Menara Alor Star, Mazlan Mahmud berkata, Menara Alor Star juga berbangga kerana dapat berganding bahu dan bekerjasama dengan Persatuan Anak Darul Aman Malaysia (ADAM), Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), KAPPA, UiTM dan PERSABAK yang telah mengambil inisiatif untuk menjayakan perlawanan ini.

“Perlawanan ini dianjurkan bertujuan untuk mengembalikan nostalgia sejarah perlawanan bola sepak Piala Malaysia antara Kedah dan Kuala Lumpur bermula pada tahun 1988,” ujarnya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena perlawanan Bola Sepak Nostalgia Piala Sultan Kedah antara Kedah dan Kuala Lumpur di Menara Alor Star, di sini.
Beliau menjelaskan, kegemilangan Hijau Kuning pada tahun 1987, 1988 dan 1989 merupakan musim gemilang buat pasukan Kedah bermula pada hujung 80-an apabila Kedah ketika itu di bawah pimpinan Allahyarham Dato’ Ahmad Basri Mohd Akil dan jurulatih Haji Ahmad Shafie telah berjaya melangkah ke perlawanan akhir Piala Malaysia selama tiga tahun berturut-turut.
Antara pemain ketika itu ialah Ahmad Sobri, Ng Chew Beng, Mohamad Ramli, Koet King Heong, Idris Man, Radhi Mat Din dan Hussin Jaafar.
Kedah tumpas 0-1 pada tahun 1987 dan pada tahun 1988, Kedah kecundang lagi dengan jaringan 0-3 manakala pada tahun berikutnya, dengan sedikit saingan, Kedah terpaksa pulang dengan kekecewaan apabila akur dengan jaringan 1-2.
Tahun 1990 merupakan tahun kegemilangan bagi skuad Hijau Kuning dan juga para penyokong setianya selama ini dan setelah menjadi pasukan yang kecewa dalam awal tiga edisi final, Kedah akhirnya berjaya menobatkan dirinya sebagai Juara Piala Malaysia pada tahun itu.
“Di bawah pimpinan jurulatih import terbaik ketika itu, Milaous Kvacek, para pemain Kedah begitu bersemangat untuk membawa pulang Piala Malaysia ke Negeri Jelapang Padi,” katanya.
Perlawanan yang akan diadakan itu akan membawa bekas pemain-pemain Kedah dan Kuala Lumpur untuk turun beraksi pada malam itu.
Antara pemain Kedah yang akan beraksi ialah Ahmad Sobri Ahmad, Azmi Mahmud, Nizam Adzhar Yusuff, Fuad Idris, Hussein Jaafar, Koet Kin Kong, Idris Man, Manja Man, Mohammad Radhi Mat Din, Mohammad Ramli, Ng Chew Beng, V. Suresh, Yusuff Din, Tan Cheng Hoe, Khatul Anuar Abd Hamid, Mohd Fariza Ismail, Mohd Farouk Ismail, Kamal Idris Ali, Syed Alwi Syed Abdullah dan Lee Jyn Yuen.
Manakala pemain Kuala Lumpur yang akan beraksi pada perlawanan itu ialah Rashid Hassan, Rasip Ismail, Tang Siew Seng, Kamarulzaman Yusof, Chow Swe Hai, K. Gunalan, Ghani Malek, Raja Azlan, Mat Zan Mat Aris, S. Balachandran, Shahrin Majid, Malek Awab, Fandi Ahmad, Azlan Meri dan Farid Dewan.
Tiket berharga RM10 untuk berbumbung dan RM5 untuk terbuka boleh didapati di kaunter Stadium Darul Aman yang mula dijual pada pagi 16 Ogos 2009.
 

No comments:

Post a Comment