Friday, October 2, 2009

wabak H1N1 di kedah

Wabak H1N1 di Kedah masih membimbangkan


Oleh: AMELIA HASHIM

ALOR SETAR, 6 September: Tahap pemahaman orang ramai terhadap wabak Influenza H1N1 di Kedah masih rendah mengikut laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Bagi mengatasi masalah tersebut, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Badan-Badan Bukan Kerajaan dan Pembangunan Insan YB Dr Ismail Salleh  telah memanggil semua ketua jabatan dan pegawai daerah seluruh Kedah bagi memberi taklimat khas berhubung isu Influenza A H1N1 serta membincangkan strategi yang perlu diambil untuk mengatasi wabak tersebut.

“Walaupun dari jumlah kes tidak ada peningkatan jika dibandingkan dengan  dulu tapi wabak ini masih lagi berada di kalangan masyarakat dan perlu diberi perhatian oleh semua pihak,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Induk Wabak Influenza A H1N1 di sini. 

Menurutnya, sehingga kelmarin (6 September) terdapat 390 kes dilaporkan dan 139 orang dikesan telah dijangkiti ILI (Influenza Like Ilness H1N1)  telah dimasukkan ke wad di hospital seluruh Kedah. Manakala 12 daripadanya di masukkan ke Unit Rawatan Rapi.

Walaupun tidak berlaku peningkatan tetapi jumlah itu menjadikan Kedah masih berada di tahap yang  membimbangkan.

Ini kerana pada masa yang sama dibimbangkan akan berlaku gelombang kedua kerana berdasarkan sejarah wabak influenza yang pernah melanda dunia suatu masa dahulu, akan dituruti oleh gelombang kedua yang mengakibatkan kematian berganda-ganda.

“Begitupun kita berharap supaya tidak berlaku gelombang kedua, seandainya berlaku juga, kita sudah pun bersedia sekiranya rakyat faham dan mengamalkan langkah pencegahan mulai sekarang.

“Semua jabatan kerajaan, khususnya pejabat daerah dan Jabatan Kesihatan telah bertungkus lumus memberi kefahaman kepada rakyat betapa penting mengambil langkah berjaga-jaga daripada terkena wabak ini,” katanya.

Selain itu Jabatan Agama juga telah mengarahkan masjid-masjid mengadakan Solat Hajat dan menyelitkan penerangan ini di dalam khutbah Jumaat.

Beliau juga memaklumkan sejak cuti sekolah sampai sekarang tidak ada kes  baru melibatkan kluster berbanding sebelum ini sebanyak  120 kluster termasuklah sekolah-sekolah, Institut Pengajian Tinggi, jabatan kerajaan dan Pusat Latihan Khidmat Negara.

No comments:

Post a Comment